Wednesday 23 March 2011

Terengganu berkabung 40 hari

KUALA TERENGGANU 22 Mac - Warga jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta dikehendaki mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan bagi menghormati perkabungan berikutan kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Peraturan tersebut dinyatakan di dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu hari ini dan tempoh perkabungan 40 hari bermula semalam sehingga 29 April ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pekeliling itu merangkumi peraturan pemakaian, perhimpunan dan pertunjukan hiburan selain pengibaran bendera.

Bagi peraturan pemakaian katanya, pegawai dan kakitangan kerajaan (lelaki Melayu) perlu memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci manakala berselendang, kain tudung berwarna putih bagi wanita Melayu.
Bagi pegawai dan kakitangan kerajaan daripada kaum lain, mereka dikehendaki bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan.

"Untuk polis dan tentera adalah mengikut cara pemakaian yang ditetapkan oleh peraturan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad seterusnya berkata, apa saja perhimpunan ramai, majlis atau acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan adalah ditegah kecuali yang berunsur keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah.

Menurutnya, semua bendera negeri dan lain-lain bendera kecuali Jalur Gemilang, perlu dikibar separuh tiang di semua jabatan kerajaan, premis perniagaan dan perusahaan serta kediaman.

No comments:

Post a Comment