Sunday 13 March 2011

Institut Khat Bakal Ditubuh Di TTI

KUALA TERENGGANU 12 Mac - Terengganu berhasrat menubuhkan sebuah institut khat di Taman Tamadun Islam (TTI) tidak lama lagi dalam usaha memperluaskan seni itu ke peringkat lebih global.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, penubuhan itu selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan institut tersebut sebagai tempat rujukan bagi seni khat di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pada masa sama, katanya, institut itu akan menjadi institut khat pertama yang ditubuhkan di rantau Asia dan bakal menjadi mercu tanda terbaru untuk TTI.

Jelas Ahmad Razif, buat masa ini, rancangan pembinaan institut itu telah dipersetujui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Justeru katanya, TTI akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kertas kerja yang berkaitan untuk tujuan tersebut.

"Jika lulus, pembinaan ini akan bermula selepas pemindahan galeri asal khat dari Institut Quran (IQ) ke TTI selesai dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar dan Inspirasi Seni Khat TTI 2011 di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri merangkap Penasihat Inspirasi Seni Khat negeri, Datuk Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Induk yang juga Ahli Lembaga Pengarah TTI Management Sdn. Bhd., Datuk Zubir Embong. -utusan

No comments:

Post a Comment