Saturday 19 March 2011

Penerbangan Umrah Terus dari KT - Saudi

KUALA TERENGGANU 19 Mac - Terengganu menjadi negeri pertama menawarkan penerbangan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi.
 
Naib Presiden Bahagian Haji dan Sewa Khas Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Kapten Nik Huzlan Nik Hussain berkata, penerbangan terus itu memudahkan jemaah dari Pantai Timur apabila dapat menjimatkan masa serta tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.

 "Saya berharap semua pihak akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis keberangkatan jemaah Umrah Anugerah di LTSM, di sini semalam.


Seramai 451 jemaah yang terdiri daripada para petugas operasi haji tahun lepas dan beberapa kakitangan kerajaan terpilih menunaikan umrah pada kali ini.

Mereka berlepas pada pukul 5.55 petang semalam dengan menaiki pesawat MH8324 dan akan mengambil masa selama sembilan jam sebelum sampai di Jeddah.

Hampir kesemua jemaah menggunakan khidmat agensi pengurusan umrah iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd., Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. dan TH Travel & Services Sdn. Bhd.

Setiap agensi menawarkan tiga pakej iaitu pakej biasa, sederhana dan kelas pertama di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Nik Huzlan seterusnya berkata, secara purata, kira-kira 25,000 visa untuk menunaikan umrah telah diberikan kepada penduduk Terengganu, Kelantan dan Pahang pada setiap tahun.

Katanya, jumlah itu merangkumi 30 peratus daripada 80,000 visa yang dikeluarkan kerajaan pada setiap tahun untuk digunakan oleh penduduk negara ini.

No comments:

Post a Comment