Friday 8 April 2011

Percutian Bajet Di Pulau Perhentian

MOMEN indah bersantai di tepian pantai sambil dihiburkan deruan ombak mengikat kenangan sepanjang bercuti di Pulau Perhentian.

Bayu berpuput lembut serta keindahan butir-butir pasir yang melandai menambahkan lagi keasyikan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Justeru andai kata anda ingin kembali kepada kenangan manis percutian itu, berkunjung saja ke Fauna Beach Chalet yang terletak di Pulau Perhentian, Terengganu.

Sunday 3 April 2011

Kedai Makan Jagung Besar, Kuala Berang

Andai dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, apa kata, singgah di Kuala Berang, Hulu Terengganu yang terkenal dengan produk jagung. Pekan Kuala Berang, terletak di antara Tasik Kenyir dan Kuala Terengganu.

Jagung rebus atau jagung bakar, mahupun jus jagung ais boleh didapati di medan selera di situ sambil menjamu selera dengan masakan kampung yang enak.

Pelbagai jenis ikan sungai dan laut terdapat di medan selera di sini. Kalau ada yang belum pernah mencuba budu, di sini jugalah tempatnya untuk mencuba budu.

Di kedai makan Jagung Besar, medan selera di sini menyediakan pilihan cecahan budu yang berperisa.

Kenali Marzuki Ali

Tanjung kuala
rumah kekasih
yang aku melamar
di hari sore
Angin laut
tanjung kuala
bermain ombak
bermain pasir
Tanjung kuala
kekasih hati
tanjung harapan
niat suci
Angin utara
menanti peluang
meratap pantai
lerai harapan
Tanjung kuala
laut nan sepi
hilang di mata
hilangnya hati

Indahnya Senja Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 17 Jan. – Puisi di atas adalah sedikit catatan yang sempat dilukiskan mengenai keindahan muara Sungai Terengganu di waktu senja.

Dan sememangnya senja di kuala sungai ini amat mengesankan terutama apabila melihat sinar matahari kemerah-merahan yang membiaskan cahaya ke dada langit yang terbuka.

Selain muara yang menyimpan kisah suka duka penyair, petani dan nelayan miskin, arus sungai yang mengalir tenang juga seakan- akan mahu menyembunyikan tangis duka rakyat negeri ini mempertahankan maruah bangsa dan walau di bumi sendiri, perjuangan dirintis mereka tidak sia-sia.

Seorang teman pernah menyuarakan rasa hatinya ketika berada di sini sambil berkata, “senja di muka kuala Sungai Terengganu semacam memberikan ketenangan jiwa.

‘‘Ia membawa kenangan pahit dan maung tentang sejarah negeri Terengganu.”

Dan sewaktu berada di Dataran Syahbandar di pinggir muara sungai ini sambil merenung air sungai yang mengalir lesu juga teringatkan kita tentang sejarah awal bandar raya ini yang menyimpan seribu nostalgia.

Muaranya mengandungi pelbagai cerita suka duka termasuk cerita beratus-ratus tahun lalu, zaman penjajahan Inggeris, Jepun dan kerajaan Melayu Riau.