Monday 26 November 2018

Terengganu Laksana Pemakaian Patuh Syariah Atlet Sukan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan bermula 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan aspek sukan di negeri ini bertepatan dengan tuntutan agama Islam.

Menurutnya, ia juga selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran.

"Pas meletakkan Islam sebagai asas, oleh itu, semua perkara atau pelaksanaan aktiviti perlu mematuhi syariah termasuk dalam aspek sukan.

"Kita telah melantik mufti negeri (Datuk Dr Zulkifly Muda) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi memberi nasihat dan panduan dalam semua aspek pelaksanaan termasuk pakaian atlet dan jenis sukan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di luar sidang Dun di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai permulaan, semua pemain bola sepak beragama Islam yang bernaung dibawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi dalam sebarang kejohanan.

Katanya, ia termasuk dalam setiap kejohanan sama ada di dalam atau luar negeri pada musim depan.

"Bagi atlet bukan Islam pula, tiada paksaan dan terpulang kepada mereka untuk pakai mengikut keselesaan mereka. Tetapi, kita galakkan mereka memakai pakaian dan mematuhi syariah.

"Selain itu, peraturan ini hanya tertakluk kepada atlet Terengganu sahaja. Bagi atlet dari luar yang datang ke Terengganu, mereka boleh berpakaian mengikut peraturan mereka," katanya.

Friday 27 November 2015

Pengaruh Islam di Terengganu

Sunday 16 November 2014

Fosil Dinosaur Ditemui Di Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sekumpulan penyelidik dan pensyarah beberapa universiti menemui fosil dinosaur termasuk tapak kaki, tulang dan gigi di Gunung Gagau, Hulu Terengganu dalam satu ekspedisi bulan lalu.

Haiwan Iguanodon, rangka dan tapak kaki
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penemuan membanggakan itu adalah hasil ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014.

Beliau berkata, ekspedisi dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi yang dianggotai pensyarah dan penyelidik beberapa universiti tempatan bersama Jabatan Perhilitan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) itu dijalankan pada 13 hingga 23 Oktober lalu.

Friday 15 August 2014

Bunga Pakma atau Rafflesia, sejenis tumbuhan unik dengan bunga terbesar dan taburan sangat terhad di dunia ditemui di ladang penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pasir Akar, Besut beberapa hari lalu.

Pensyarah Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan UniSZA, Norhayati Ngah menyifatkan penemuan itu membuka ruang kepada penyelidikan spesies tersebut di samping tumbuhan tradisi yang lain.

“Belum pernah penemuan sebegini dilaporkan di sini dan ini suatu khazanah alam yang berharga. Kajian boleh dilakukan dari segi ekologi, pemulihan atau pengekalan termasuk melalui pembiakan.

“Difahamkan, tumbuhan ini yang mudah melalui proses pereputan jika disentuh tidak boleh hidup apabila diambil atau dipindahkan ke tempat lain manakala pembiakannya berlaku secara semula jadi.

“Dalam kalangan masyarakat kita, bunga Pakma dikaitkan sebagai tumbuhan herba terutama bagi kegunaan wanita. Justeru, kajian lebih mendalam mengenai potensinya boleh dijayakan kelak,” katanya semalam.

Sunday 10 August 2014

Daerah Kuala Nerus

DAERAH BARU KUALA NERUS TUNGGU KEPUTUSAN KABINET

Usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah pentadbiran ke lapan di Terengganu sudah sampai ke peringkat akhir.

Kuala Nerus akan diwartakan sebagai daerah penuh setelah mendapat keputusan kabinet, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abdu Rahman.

“Keputusan daripada KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa) kita sudah dapat, tiada masalah. Soal perjawatan sudah selesai, cuma tunggu keputusan kabinet,” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Gong Badak. Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Basir Ismail dan Naibnya, Apli Yusoff.


Monday 30 December 2013

Asal usul Tasik Kenyir, Terengganu

JEJAK SEJARAH 9 buah kampung yang 'tenggelam' di dasar Tasik Kenyir Lama sebelum ditenggelami air, dasar Tasik Kenyir yang suatu ketika dahulu subur dan permai pernah menjadi sebahagian daripada kawasan penempatan penduduk terawal di Hulu Terengganu. 

Walaupun tidak lagi menjadi sebutan, nama-nama kampung seperti Melor, Keliok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing pasti akan kedengaran apabila ada yang menjejak sejarah empangan hidro-elektrik itu. 


Namun kini cerita masyarakat yang dahulu berkampung jauh di hulu Sungai Terengganu itu bukan sesuatu yang diketahui umum. Kebanyakan kisah-kisah lisan yang turun dari generasi ke generasi itu semakin dilupakan. 

Thursday 20 June 2013

Asal Usul Nama Setiu, Terengganu

* Asal-Usul Nama Setiu

ASAL-USUL NAMA SETIU
* Terbitnya nama Setiu adalah berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun-tahun 1770an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan. Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka. Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis. Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke X (1875 hingga 1881).
* Apabila Tok Setiu mendarat ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad untuk memohon menumpang tinggal di Terengganu, beliau menceritakan perihal kedatangannya dan segala pahit maung semasa dalam pelayaran.
* Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan perkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Lalu Baginda titahkan kepada Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai untuk dibuat perkampungan.
* Setelah meninjau kawasan-kawasan di Negeri Terengganu, beliau telah memilih sebuah tempat dan dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka.
* Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Dalam pada inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan. Oleh kerana tidak mendapat kata sepakat dan tolak ansur antara mereka berdua, lalu berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan.
* Memandangkan hal yang demikianlah Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan. Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai Ketua di Kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai.
* Kekalahan Tok Itam telah menyebabkan anak buahnya menyimpan dendam dan mereka telah membuat batas sempadan dengan menanam suatu azimat. Tujuannya adalah untuk mencegah daripada kemasukan binatang-binatang daripada kampung lain. Ini jelas terbukti apabila seseorang yang hendak membawa masuk kerbau dan lembu dengan tujuan untuk membelanya ataupun kenduri kendara, binatang itu apabila melangkah saja ke garis sempadan tersebut terus mati. Peristiwa ini telah berlaku berulang-ulang kali.
* Semasa pemerintahan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Pekerjaan penduduk-penduduk pada masa itu hinggalah sekarang ialah bertanam padi dan menoreh getah.
* Selain daripada bertugas sebagai Ketua Kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduk-penduduknya yang belajar denganya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk kampung Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat. Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun.
* Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya yang terletak di bawah sepohon Berangan. Pokok Berangan telah ditebang manakala batu nisan tidak dapat dikesan. Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok-pokok getah dan semak samun.
* Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk-penduduk kamping menamakan tempat itu sebagai SETIU hinggalah sekarang menjadi satu Daerah.
* Tok Setiu memainkan peranan yang besar dalam sejarah kehidupannya dan banyak jasa-jasa yang ditinggalkan oleh beliau. Hiburan seperti bersilat, Mak Yong, main gasing, berlaga kerbau turut diadakan di kampungnya. Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya di bawah sepohon pokok berangan.