Monday 27 June 2011

Rekod Baharu Keropok Lekor Terpanjang

KUALA TERENGGANU 25 Jun - Karnival Bank Rakyat yang berlangsung selama dua hari di Dataran Shahbandar di sini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan keropok lekor terpanjang sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Makanan tradisi Terengganu yang berukuran 479 meter panjang dan 6.5 sentimeter lilitan itu dihasilkan dengan menggunakan adunan 1,200 kilogram tepung dan ikan untuk diiktiraf sebagai yang terpanjang pernah dihasilkan.

Menurut wakil MBR, Leona Paul, pengiktirafan itu diberikan kerana ia telah berjaya memecah rekod yang pernah dicipta pada 2006 sempena Pesta Terengganu oleh gabungan pengusaha keropok lekor tempatan.

"Sebelum ini, keropok lekor sepanjang 200 meter telah dihasilkan. Berdasarkan kejayaan hari ini, ia berjaya menambah lebih 20 peratus saiz rekod sebelum ini," katanya ketika menyampaikan pengiktirafan itu sempena karnival berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, Leona menyerahkan sijil pengiktirafan rekod berkenaan kepada Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat. Turut hadir menyaksikan upacara berkenaan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd. Dagang.

Karnival yang bertemakan Cintai Alam itu, memilih Terengganu sebagai lokasi ketiga selepas Melaka dan Kedah yang diadakan pada April dan Mei lalu sehingga berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung.

Selain itu, pelbagai acara turut disediakan kepada pengunjung termasuk program bersama Kelab Nuri, pertandingan Vespa tercantik, pertandingan ayam serama, pertandingan busana anggun, futsal, pertandingan dam, suara rakyat, pertandingan fotografi serta acara sukaneka.

No comments:

Post a Comment