Friday 29 July 2011

Kids Sailing di Pulau Duyung

KUALA TERENGGANU 28 Julai – “Seronok tetapi takut juga pada mulanya,” ujar seorang remaja dengan nada dan wajah penuh teruja apabila turun dari kapal layar di jeti Pulau Duyung di sini.

Inilah kali pertama Nor Hashimah Harun, 14, bersama tujuh rakannya yang tinggal di pulau itu diberi peluang merasai pengalaman menaiki kapal layar dan mengendalikan sendiri pelayaran sekitar muara Sungai Terengganu.

Mereka dilahirkan dan membesar di bandar raya pesisir pantai dan Pulau Duyung di muaranya masih terkenal dengan tradisi pembuatan perahu, bot dan kapal tradisional.

Pulau itu kemudian menjadi lokasi perlumbaan kapal layar dunia – Piala Monsun, satu kejohanan berprestij yang kerap mereka dengar, tetapi tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku.

Selama ini, mereka hanya menatap dari jauh kapal-kapal layar yang memeriahkan suasana perairan muara dan pantai terutama pada musim tengkujuh yang mana Monsun Cup berlangsung dengan kehadiran pelayar dari pelbagai pelosok dunia.

Nor Hashimah dan rakan-rakan yang menyertai Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Cendering (PAKKC) di sini berpeluang mengendalikan kapal layar Piala Monsun baru-baru ini melalui program yang diberi nama Kids Sailing.

Program itu anjuran kontraktor rasmi Piala Monsun, Jejak Santun Sdn. Bhd. dan dikendalikan oleh T-Best Events yang mana ia merupakan kegiatan kali ke-10 pada tahun ini yang melibatkan 180 kanak-kanak setakat ini.

Mereka mendapat tunjuk ajar daripada pelayar berpengalaman, David Mills mengenai pengendalian kapal berkenaan yang digunakan untuk temasya Piala Monsun setiap tahun.

“Pada mulanya rasa takut apabila melihat kapal yang besar itu dan tertanya-tanya bagaimana ia boleh belayar. Namun, cukup seronok apabila kami diajar membuat semuanya dan kami boleh lakukan sendiri.

“Mula-mula memang takut sebab tak faham sangat apa yang David katakan kerana dia bercakap dalam bahasa Inggeris tapi dia banyak membantu dan membuatkan saya rasa selesa dan boleh berlari di atas kapal layar itu tanpa rasa takut ketika mengendalikannya.

“Saya rasa bertuah apabila berpeluang mengikuti program ini kerana sebelum ini hanya dapat tengok kapal layar dari jauh sahaja,” ujar Nor Hashimah ketika ditemui selepas berakhirnya program itu.

Bagi Mohd. Amirul Hamim, 12, yang merupakan kanak-kanak termuda menyertai program berkenaan, dia tidak menyangka dapat berada di atas kapal layar dan bersama mengemudikan kapal.

Jelasnya, dia juga pada mulanya gementar memandangkan saiz badannya agak kecil dan bimbang terjatuh akibat angin kuat.

“Bila naik sahaja dalam kapal itu, David mengarahkan saya menarik dan melepaskan tali layar serta berlari ke kiri dan kanan membuatkan saya terus jadi berani.

“Rasa tak sabar mahu menceritakan pengalaman baru kepada kawan-kawan di sekolah nanti,” jelasnya yang menyimpan impian untuk menjadi pelayar satu hari kelak.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi PAKKC, Mohd. Ali Ibrahim, program tersebut merupakan salah satu acara yang diadakan bagi mengisi masa terluang kanak-kanak selain memberi pengalaman baru dan mendekatkan mereka dengan sukan itu.

Ujarnya, program tersebut turut memberi impak positif kepada kanak-kanak berkenaan sejak ia diadakan tahun lalu apabila enam orang daripada mereka turut dipilih dan ditaja menyertai Program Pelayaran Belia Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) yang berlangsung awal Mac lalu.

“Pada pertandingan itu, pasukan PAKKC telah berjaya memenangi pertandingan berkenaan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment