Saturday 18 June 2011

UniSZA Cadang wujud hospital pakar

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini sedang berusaha mewujudkan sebuah hospital bertaraf pakar dengan 400 katil bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan pengajaran penuntut fakulti perubatan di universiti itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Alias Daud berkata, permohonan kepada Kerajaan Negeri dan Pusat sudah dibuat, namun pihak universiti masih belum menerima sebarang laporan sama ada ia dapat dibina melalui Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) atau sebaliknya.

“Ketika ini penuntut fakulti perubatan UniSZA membuat latihan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kita berharap, dengan pertambahan bilangan pelajar, sebuah hospital bertaraf pakar dengan 400 katil dapat dibina di sini.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan yang boleh digunakan bagi tujuan pembinaan hospital itu dan salah satu kawasannya adalah di kampus Gong Badak. Namun jika kompleks hospital itu lebih besar, lokasi lain perlu dicari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Imbuhan Penerbitan 2010 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr Mohd Afandi Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Dr Abdul Manaf Ali dan Pendaftar UniSZA, Dr Nik Wan Omar.

Sementara itu, Dr Alias berkata, pihak universiti sudah menyediakan spesifikasi yang diperlukan sebagaimana yang diminta, dengan memfokuskan pembinaan fakulti perubatan dan hospital secara berdekatan sebagaimana di Universiti Malaya (UM).

“Ini bermakna pelajar yang belajar di fakulti perubatan boleh menggunakan hospital sebagai pusat latihan dan pakar-pakar yang ada di fakulti ini boleh memberi khidmat di hospital tersebut.

“Justeru kita amat mengharapkan hospital ini dapat dibina di bawah RMK10 memandangkan kita sudah mempunyai pelajar di tahun ketiga, malah ada antara mereka kini sudah berada pada tahap pengajian klinikal dan kita menjangkakan pertambahan pelajar pada sesi kemasukan September depan,” katanya

No comments:

Post a Comment