Sunday 3 April 2011

Kenali Marzuki Ali

Tanjung kuala
rumah kekasih
yang aku melamar
di hari sore
Angin laut
tanjung kuala
bermain ombak
bermain pasir
Tanjung kuala
kekasih hati
tanjung harapan
niat suci
Angin utara
menanti peluang
meratap pantai
lerai harapan
Tanjung kuala
laut nan sepi
hilang di mata
hilangnya hati

KUALA TERENGGANU 3 Feb. - Demikian bait puisi penyair tersohor Terengganu, Marzuki Ali yang berjudul 'Tanjung Kuala' yang menceritakan pahit maung kehidupan nelayan dan penghuni sebuah perkampungan tua yang terletak di pinggir muara Sungai Terengganu.

Puisi kini juga turut menjadi pengisi acara dan mendapat tempat di segenap kalangan masyarakat bila mana ia turut dibaca atau dideklamasikan pada acara-acara seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan lain-lain aktiviti sebagai pembuka tirai.


Marzuki anak jati Kuala Kemaman itu mula mengasah bakatnya dalam penulisan sejak tahun 60-an lagi dan sehingga kini masih aktif berkarya sama ada dalam bidang puisi atau teater.

Selain puisi dengan karya yang bernada 'protes', beliau turut terlibat dalam teater di Malaysia dan Indonesia sehingga tertubuhnya beberapa kumpulan teater antaranya Kumpulan Teater Asyik Kota Kinabalu, Kumpulan Teater Halaman Jakarta dan Kumpulan Teater Asyik Terengganu.

Menurut Marzuki pameran solonya yang bertajuk 'Bermalam Sakan Di Lambo Ambo' (Mari Ramai-Ramai Bersajak Di Selasar Kita) merupakan ruang singgah dan istirehat sambil mendengar cebisan suara rasa nukilan karyanya.

Kehidupannya yang begitu akrab dengan dunia laut dan nelayan telah memberikan ilham kepadanya untuk menghasilkan karya-karya yang bertemakan alam.

Antara puisi-puisi tersebut termasuklah Seberang Takir, Anak Bedar, Malam Kematian Angin, Mencandat Sotong, Syurgawi Taman Laut, Hutan Cemara dan Tanjung Kuala.

''Saya lebih suka memilih tema alam kerana lebih dekat kepada diri saya sendiri.

''Dan puisi yang dihasilkan adalah dalam suara yang bernada protes, kritik sosial serta sinis untuk meluah isi hati serta pandangan yang jujur,''

Beliau yang pernah mengajar di beberapa institusi pengajian tinggi seperti di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan ASENI Terengganu, kini bertugas sebagai Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia, (USM) Pulau Pinang.

Marzuki kini masih giat dan segar dengan manik-manik bahasa yang tercerna.

Beberapa karya puisi beliau pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Mentera, Puisi Duyung Puisi Rakyat, Jeritan Satwa Luka, Naban dan Sape Lamanta.

Malah dalam Pameran Deklamasi Puisi, beliau mempamerkan sebahagian daripada hasil karya yang pernah diterbitkan yang mewarnakan pelbagai watak tentang duka, cerita kehidupan di persisiran Pantai Timur, tentang resah gelisah dunia percintaan, tentang keprihatinan alam dan nada patriotiknya yang mencengkam.

Beliau juga banyak terlibat dalam teater di Malaysia dan Indonesia serta keterlibatan dunia teater inilah meresamkannya tampil dengan menyakinkan di khalayak dengan juadah deklamasi puisi yang bernada 'protes'.

Suara-suara yang nyaring, keras dan kental bisa dirasakan lewat puisinya seperti Padangku Luka, Di Sini Di Kuala Terengganu dan Tanah Ini.

Beliau juga mudah cepat terheret oleh suasana tidak wajar yang terjadi oleh tingkah laku manusia seperti dalam puisi Rantau Belimbing, Belantara Duka dan Album Dukaku Kenyir.

Marzuki dilahirkan di Kuala Kemaman pada tahun 1945 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Kuala Kemaman dan Sekolah Menengah Sultan Ismail Kemaman.

Pernah bertugas sebagai guru sementara dan pegawai kerani di beberapa jabatan kerajaan di Dungun dan Kuala Terengganu serta Kota Kinabalu.

Beliau juga pernah menuntut di Institut Kesenian Jakarta, Indonesia dalam bidang teater.

Kegiatan penulisannya dalam bidang cerpen, drama, puisi dan kritikan budaya disiarkan dalam banyak majalah dan akhbar seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Antologi puisi persendirian termasuklah Mentera, Puisi Duyung Puisi Rakyat, Jeritan Sataw Luka, Naban, Bungkau Rimba Hutan Tropika dan Sape Lamanta.

Sementara tiga buah antologi persendirian lagi kini dalam proses untuk penerbitan ialah Antawacana, Pesan Bonda dan Kasmaran Cinta Dan Sepotong Roti Bakar.

No comments:

Post a Comment