Sunday 3 April 2011

Kedai Makan Jagung Besar, Kuala Berang

Andai dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, apa kata, singgah di Kuala Berang, Hulu Terengganu yang terkenal dengan produk jagung. Pekan Kuala Berang, terletak di antara Tasik Kenyir dan Kuala Terengganu.

Jagung rebus atau jagung bakar, mahupun jus jagung ais boleh didapati di medan selera di situ sambil menjamu selera dengan masakan kampung yang enak.

Pelbagai jenis ikan sungai dan laut terdapat di medan selera di sini. Kalau ada yang belum pernah mencuba budu, di sini jugalah tempatnya untuk mencuba budu.

Di kedai makan Jagung Besar, medan selera di sini menyediakan pilihan cecahan budu yang berperisa.

Ikan bakar segar yang dicecah budu barangkali boleh membuat anda terlupa dengan keenakan hidangan lain.

Menurut pemilik kedai, Ruzeah Muhammad, 32, di kedai ini terdapat sajian ikan baung eksklusif iaitu ikan baung segar dari sungai.

Sajian ikan baung ternak juga disediakan sebagai memberi pilihan kepada pelanggan. Ada digoreng garing, dimasak kuah tempoyak cili padi dan digoreng berlada dan juga masam-masam manis.

Selain ikan baung terdapat juga ikan patin, ikan keli serta ikan air tawar yang lain, tidak ketinggalan ikan laut seperti selayang, kerisi, ikan merah dan lain-lain yang dimasak enak gaya Terengganu.

Nasi dan lauk-pauk yang panas-panas, mengikut pesanan akan lebih ‘terangkat’ dan lengkap andai dimakan bersama ulam-ulaman desa, seperti pegaga, dambur dan gedebe lembu.

Bayangkanlah sambil menyuap nasi, capai pula ulaman, cecah budu, sekali suap nasi, kemudian suap ikan bakar, cicah budu mangga titisan jus limau nipis.

Kerabu mengkudu pula memberi kelainan dalam membangkitkan selera. Ulam-ulaman pula terdiri daripada ulam pucuk ketereh (gajus atau janggus), gedebe lembu, daun pucuk putat dan lain-lain.

Minuman pelengkap merupakan jus herba seperti jus pegaga serta air jagung mahupun jus buah-buahan yang lain.

Lulusan Universiti Malaya, Ruzeah memberitahu, nasi dan lauk-pauk ini disajikan mulai pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Selain pelanggan yang sedia ada, terdapat juga pelancong tempatan yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, ke Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas termasuk mereka yang bercuti di Tasik Kenyir.

Andai ada yang teringin merasakan baung eksklusif ini, dan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, singgah saja ke kedai makan Jagung Besar (replika jagung besar di depan kedai makan) di Simpang Gaung, Kuala Berang.

No comments:

Post a Comment