Sunday 3 April 2011

Indahnya Senja Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 17 Jan. – Puisi di atas adalah sedikit catatan yang sempat dilukiskan mengenai keindahan muara Sungai Terengganu di waktu senja.

Dan sememangnya senja di kuala sungai ini amat mengesankan terutama apabila melihat sinar matahari kemerah-merahan yang membiaskan cahaya ke dada langit yang terbuka.

Selain muara yang menyimpan kisah suka duka penyair, petani dan nelayan miskin, arus sungai yang mengalir tenang juga seakan- akan mahu menyembunyikan tangis duka rakyat negeri ini mempertahankan maruah bangsa dan walau di bumi sendiri, perjuangan dirintis mereka tidak sia-sia.

Seorang teman pernah menyuarakan rasa hatinya ketika berada di sini sambil berkata, “senja di muka kuala Sungai Terengganu semacam memberikan ketenangan jiwa.

‘‘Ia membawa kenangan pahit dan maung tentang sejarah negeri Terengganu.”

Dan sewaktu berada di Dataran Syahbandar di pinggir muara sungai ini sambil merenung air sungai yang mengalir lesu juga teringatkan kita tentang sejarah awal bandar raya ini yang menyimpan seribu nostalgia.

Muaranya mengandungi pelbagai cerita suka duka termasuk cerita beratus-ratus tahun lalu, zaman penjajahan Inggeris, Jepun dan kerajaan Melayu Riau.

Begitu juga dengan kesibukan muara sungai sebagai pelabuhan antarabangsa utama pada zaman penjajahan Inggeris. Ketika itu, kuala sungai ini menjadi fokus utama untuk pedagang pelbagai bangsa dan negara menjual barangan termasuk kain, tembikar dan tembaga sekali gus menjadikan Kuala Terengganu pusat perdagangan antarabangsa terpenting ketika itu.

Perihal kehebatan sejarah silam Kuala Terengganu ini pernah dicatatkan oleh Ptolemy, seorang pakar geografi Greek zaman dahulu dalam sebuah buku geografi yang ditulisnya pada tahun 150 masehi.

Ahli sejarah itu pernah menyebut dalam bukunya, nama beberapa buah tempat (bandar dan negeri) di Timur antaranya ialah ‘Golden khersonese’ yang membawa maksud Semenanjung Emas.

Ekoran itu, pelbagai pendapat dihujahkan oleh ahli-ahli sejarah dalam menentukan tempat ‘Golden khersonese’ antaranya ialah Semenanjung Emas yang dimaksudkan itu adalah Semenanjung Tanah Melayu.

Kole dan Perimula
Selain ‘Golden khersonese’, turut disebutkan dua buah tempat di Golden khersonese iaitu Kole dan Perimula. Ada di antara mereka mengatakan Kole terletak di kuala Sungai Kemaman di negeri Terengganu sekarang dan Perimula pula terletak di kuala Sungai Terengganu.

Berdasarkan keterangan itu, pada abad pertama telah ada tempat-tempat di Terengganu yang dikenali orang iaitu sebuah letaknya di kuala Sungai Kemaman (Kole) dan sebuah lagi di kuala Sungai Terengganu (Perimula).

Tatkala zaman kemakmuran perdagangan kerajaan Langkasuka, Terengganu juga merupakan negeri yang menjadi pembekal sumber bahan mentah seperti emas dan bijih timah yang mendapat pasaran meluas di rantau ini.

Dengan kedudukannya berhadapan Laut China Selatan, Terengganu menjadi sebuah bandar pelabuhan perdagangan di Timur yang begitu pesat.

Peta yang dilukiskan Ptolemy menunjukkan terdapatnya dua pelabuhan di Pantai Timur iaitu Kole dan Perimula yang menjalankan perniagaan di antara India dan Timur Jauh. Kedua-dua pelabuhan ini terletak di daerah Kuala Terengganu.

Terengganu mula disebut dalam rekod-rekod negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada kerajaan San-Fo-Chih (Seriwijaya) iaitu sebagai Teng-Ya-Nung. Teng- Ya-Nung yang disebut itu adalah Terengganu dan dipercayai Kuala Terengganu.

Sejarah jelas membuktikan kepentingan Kuala Terengganu sebagai pelabuhan antarabangsa, maka tidak hairanlah Kuala Terengganu telah dibanjiri para pedagang Cina untuk berdagang.

Berdasarkan catatan Wang Ta-Yuan, selain daripada pernah singgah di Tumasik pada 1349, beliau juga pernah melawat Terengganu pada tahun yang sama. Namun, beliau tidak menyatakan tentang penempatan orang-orang Cina di sana.

Bagaimanapun, bagi Paul Wheatley, beliau menganggap kedudukan Tan-tan adalah terletak di Kuala Besut atau Kuala Terengganu.

Beliau membuat anggapan itu berdasarkan pada hubungan antara Tan-tan dengan Chih-tu sebagai pusat jalan laut menuju ke selatan. Beliau juga mengatakan Chih-tu terletak di Kuala Sungai Kelantan.


Sejarah

Dataran Shahbandar di Muara Sungai Terengganu menjadi lokasi utama untuk aktiviti riadah bersama keluarga.


Selain bukti sumber bertulis, sejarah Terengganu juga dikaitkan dengan Laksamana Cheng Ho yang mana menurut kepercayaan orang- orang Cina, Laksamana Cheng Ho pernah singgah di Kuala Terengganu pada kurun ke-12.

Tempat yang disinggahinya ialah Kampung Jeram iaitu kira-kira 25 kilometer (km) dari bandar Kuala Terengganu. Sebuah tokong yang dikenali sebagai Tokong Jeram telah dibina oleh masyarakat Cina sebagai memperingati beliau.

Semasa Alexander Hamilton berada di Kuala Terengganu, sebuah kapal Perancis di bawah perintah Pedro-Villamont Garden, telah berlabuh di pelabuhan itu dan beliau menjanjikan Sultan Mansur I bahawa pihak Perancis akan mendirikan tempat persinggahan di Terengganu, tetapi beliau gagal.

Pada 1755, sebuah kapal Perancis yang lain di bawah perintah Le Blanc, singgah di Kuala Terengganu, tetapi tidak ada sebarang rekod diketahui mengenai lawatan itu.

W. Medhurst, seorang Inggeris memberi gambaran tentang Kuala Terengganu sebagai pusat perdagangan yang hidup pada tahun 1828. Semasa pemerintahan Sultan Mansur II, seorang ahli pelayaran Inggeris, George Windsor Earl serta rakannya, Robert Hunter, singgah di Kuala Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada 1833 dan 1835, telah menjual beras kepada Sultan dan menceritakan bahawa Sultan negeri itu (Terengganu) mengadakan pakatan perniagaan dengan pembesarnya.

Tentang sungai Terengganu, Abdullah Munshi juga menyatakan bahawa “Terengganu itu bagus dan sungainya besar”. Pedagang dan saudagar Terengganu memberi layanan baik kepada pedagang luar negeri.

Perdagangan di Terengganu pada abad ke-20 ialah dengan menggunakan perahu layar yang dipanggil perahu bedar, barang-barang yang diperdagangkan ialah tikar karun, ikan kering, pinang kotai, lembu, kambing, emas, bijih besi, kopi, lada hitam, kayu cendana, kain sutera dan sebagainya.

Menurut cerita, beberapa bekas nakhoda perahu besar, sebelum Perang Dunia Kedua, terdapat lebih daripada 100 buah perahu besar di Terengganu.

Perahu-perahu yang telah siap dibina diberi nama tertentu antaranya ialah Pasak Besi, Jentayu, Kuntum Cempaka, Puyoh, Serindit, Sabar, Selamat, Hormat, Kemajuan, Sempurna, Taat dan sebagainya.

Alexander Hamilton menggambarkan kedudukan Terengganu dari kaca mata ekonomi yang menunjukkan Kuala Terengganu sebagai pusat perdagangan dan barangkali atas alasan itulah Sultan Zainal Abidin I cenderung untuk menjadikan Kuala Terengganu sebagai ibu negeri.

Pierre Monnerson semasa lawatannya ke Kuala Terengganu dalam abad ke-18 pernah mencatatkan pasar-pasar di Kuala Terengganu dibuka pada pukul 3.00 atau 4.00 petang.

Kuala Terengganu memang terkenal dengan perusahaan membuat kulit bot dan kapal, menenun kain songket dan kain sutera, pembuatan barangan logam serta kerja tangan yang lain.

Perusahaan menenun kain songket dipercayai telah wujud pada zaman Sultan Mansur (1726-1793) Dalam bidang perusahaan kemahiran tangan, hasil tenunan Terengganu mencapai taraf yang membanggakan sehingga Terengganu sering menerima pujian daripada orang-orang Barat.

Di antaranya ialah Hugh Clifford yang menganggap Terengganu sebagai “Birmingham” di Semenanjung Melayu kerana beliau dikatakan begitu terpesona dengan perusahaan tangan yang dihasilkan oleh orang Melayu di Kuala Terengganu yang menghasilkan barangan yang bermutu baik.

No comments:

Post a Comment