Wednesday 31 October 2012

Pulau Perhentian - Saji Aktiviti Menarik

KEUNIKAN dan keindahan alam semula jadi di Pulau Perhentian, Terengganu menjadikan ia antara pulau yang popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Pulau yang terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Perhentian Kecil bukan saja diliputi hutan hujan tropika, tetapi menjanjikan keindahan dasar laut yang mempesona ditambah dengan adanya kawasan yang dikhaskan sebagai taman laut.

Terletak 21 kilometer dari pinggir pantai Terengganu, pulau ini di mempunyai populasi seramai 2,163, namun kini yang menetap di pulau itu hanya 1,950 seramai penduduk saja.

Pulau Perhentian satu ketika dulu tidak mempunyai nama yang khusus.

Bagaimanapun, apabila ia sering menjadi lokasi persinggahan pelayar dan kapal dagang dari China dan Singgora, Selatan Thailand, Pulau itu dinamakan sebagai Pulau Perhentian yang bermaksud pulau tempat kapal berhenti.

Malah, sehingga kini ia masih menjadi persinggahan kapal termasuk bot nelayan apabila ombak besar dan angin kencang terutama pada musim monsun Timur Laut antara Oktober hingga Mac.
Pulau ini juga mempunyai 93 penginapan yang menawarkan harga yang cukup berpatutan buat pengunjung, sekali gus menjadikan Pulau Perhentian antara pulau di Terengganu yang mempunyai banyak tempat menginap.

Apa yang menarik, konsep penginapan yang ringkas dan adanya perkampungan kecil dengan penduduk yang ramah membuatkan pengunjung berasa lebih tenang dan selamat.

Justeru itu, saat menerima tugasan untuk menyertai rombongan Media sempena Perhentian Island Challenge 2012 baru-baru ini, hati penulis meloncat keriangan kerana berpeluang untuk berkunjung lagi ke pulau yang cukup indah dan unik itu.


KEINDAHAN YANG MEMUKAU


Melangkah turun dari bot yang membawa penulis dan rombongan media di Pasir Panjang atau lebih dikenali ‘Long Beach’, keletihan menaiki bas selama lebih tujuh jam hilang di bawa bersama angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Dengan kehidupan yang sibuk dan kesesakan di ibu negara yang memberi ketegangan dan tekanan hilang bersama ombak yang memukul pantai yang memutih.

Kehijauan air laut yang luas terbentang cukup memukau mata yang memandang.
Perairan di sekitar Pulau Perhentian ini ditaburi dengan terumbu karang yang cukup cantik dan terpelihara serta menawarkan pemandangan bawah laut yang menyeronokkan.

Jika bernasib baik, anda berpeluang melihat penyu yang berkunjung ke pulau itu kerana Perhentian sering menjadi tumpuan penyu hijau dan hawksbill untuk bertelur.

Tatkala berkunjung ke pulau yang cukup mempesona ini, Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil adalah antara lokasi yang menjadi pilihan pelancong.

Pasir Panjang menjadi tarikan kerana ia mempunyai pemandangan yang mempesona selain keindahan pesisir pantainya yang mendatar, cantik dan mempunyai pelbagai pilihan penginapan dengan harga yang cukup berpatutan.

Lebih menarik, kebanyakan resort dan chalet di situ menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang pasti menjanjikan keseronokan, sekali gus mendekatkan anda dengan laut yang indah di pulau itu.


KESERONOKAN BERPANJANGAN

Pulau Perhentian menawarkan percutian yang menyeronokkan kepada pengunjung yang bertandang ke situ kerana ia menawarkan pelbagai aktiviti yang pasti membuatkan anda tidak akan melupakan kenangan saat bercuti di Pulau Perhentian.

Selain aktiviti snorkeling, pelbagai lagi aktiviti menyeronokkan dan lasak ditawarkan di situ. Antara berkayak, ‘banana boat’ dan sudah pastinya selam scuba.

Sebut saja anda mahu melakukan aktiviti yang mana, pengusaha resort atau orang persendirian yang menawarkan aktiviti itu akan membawa anda ke tempat yang mempunyai cukup indah bersesuaian dengan aktiviti yang anda mahukan.


KEUNIKAN YANG MEMPESONA

Pulau Perhentian bukan saja menawarkan keindahan pemandangan, malah pengunjung turut berpeluang melihat kincir angin yang ada di situ itu beroperasi seperti yang biasa dilihat di Eropah.

Kewujudan kincir angin yang terletak di puncak bukit bahagian tengah Pulau Perhentian, adalah pusat jana kuasa hibrid pertama dibangunkan di Asia yang menjadi nadi dalam membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk pulau berkenaan.

Untuk ke pusat jana kuasa yang menempatkan kincir angin, pengunjung perlu mendaki lebih 100 anak tangga ke puncak.

Kepenatan mendaki 100 anak tangga itu pastinya tidak akan sia-sia dengan panorama indah pemandangan yang cukup mengasyikkan terutama saat matahari terbenam. Ia sememangnya sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Satu lagi keunikan yang pastinya sukar didapati di mana-mana pulau peranginan di negara ini dan hanya terdapat di Pulau Perhentian adalah teksi air.

Teksi air adalah perkhidmatan bot laju untuk ke Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Oleh itu, anda bebas untuk bergerak ke mana saja saat berkunjung ke pulau yang indah itu.

Bercuti anda sememangnya cukup menyeronokkan di Pulau Perhentian.

Bagaimanapun, Pulau Perhentian akan ditutup bermula oktober hingga Mac setiap tahun disebabkan musim Monsun Timur Laut.


PERHENTIAN ISLAND CHALLENGE 2012

Peserta Perhentian Island Challenge (PIC) 2012 ke-9, baru-baru ini menjadi antara pengunjung yang terakhir berkunjung ke pulau itu sebelum ia di tutup untuk dikunjungi.

Bagi tahun ke-9 penganjurannya, objektif yang diketengahkan masih sama iaitu mempromosikan keindahan Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan bagi penganjuran sukan rekreasi lasak.

Selain itu, ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pemuliharaan alam semula jadi selain menggamit jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu.

Seperti tahun berikutnya, gabungan cabaran fizikal meliputi larian berhalangan, larian mendaki bukit, larian pesisir pantai, berenang, pelbagai halangan pantai dan air masih sama. Namun, bezanya kali ini, jaraknya adalah lebih jauh berbanding tahun sebelumnya.

Dua kategori iaitu kategori Elite Lelaki dan Wanita serta kategori Novice Lelaki dan Wanita membabitkan acara berlari, mendaki, menempuh halangan yang pelbagai bermula di garisan permulaan di Kampung Perhentian sehingga ke Pasir Panjang bagi Novice.

Untuk kategori Elite Lelaki dan Wanita serta Antarabangsa pula, mereka memulakan perlumbaan dari Kampung Keke di Pulau Perhentian Besar kemudian berenang sejauh 800 meter menggunakan pelampung ke Perhentian Kecil dan berakhir di Pasir Panjang.



INFO:

  • Pulau Perhentian mempunyai populasi seramai 2,163 dan hanya 1,950 yang menetap di sana
  • Lebih 93 penginapan terdapat di Pulau Perhentian
  • Terbahagi kepada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Perhentian Besar
  • Pasir Panjang antara lokasi yang popular di Pulau Perhentian
  • No comments:

    Post a Comment