DAERAH BARU KUALA NERUS TUNGGU KEPUTUSAN KABINET
Usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah
pentadbiran ke lapan di Terengganu sudah sampai ke peringkat akhir.
Kuala Nerus akan diwartakan sebagai daerah penuh setelah mendapat
keputusan kabinet, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abdu Rahman.
“Keputusan daripada KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali
Hamsa) kita sudah dapat, tiada masalah. Soal perjawatan sudah selesai,
cuma tunggu keputusan kabinet,” katanya kepada media semalam.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri
UMNO Bahagian Kuala Nerus di Gong Badak. Turut hadir, Timbalan Ketua
UMNO Bahagian, Dato’ Basir Ismail dan Naibnya, Apli Yusoff.
Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata, kerajaan
negeri telah meluluskan bajet sebanyak RM40 juta tahun ini sebagai
persiapan awal dengan mewujudkan infrastruktur asas seperti sistem
saliran dan laluan masuk ke kawasan pentadbiran daerah baru itu.
“Tahun depan, kerajaan negeri akan keluarkan bajet untuk membina bangunan pentadbiran baru iaitu Pejabat Daerah Kuala Nerus.
“Kita juga sedang memohon kepada kerajaan persekutuan untuk membina
kompleks atau bangunan pentadbiran kerajaan persekutuan yang menempatkan
jabatan-jabatan kerajaan pusat.
“Minggu depan Dato’ Seri Abdul
Wahid Omar (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) akan datang ke
Terengganu untuk berbincang mengenai rangka RMK-11 (Rancangan Malaysia
Ke-11). Salah satu yang akan kita utarakan ialah soal pembangunan daerah
Kuala Nerus,” ujarnya.
(KOPERAT berharap projek Taman Koperat Peradong, Manir akan terus mendapat sambutan) www.koperat.com.my
No comments:
Post a Comment