JEJAK SEJARAH 9 buah kampung yang 'tenggelam' di dasar Tasik Kenyir
Lama sebelum ditenggelami air, dasar Tasik Kenyir yang suatu ketika dahulu subur dan permai
pernah menjadi sebahagian daripada kawasan penempatan penduduk terawal
di Hulu Terengganu.
Walaupun tidak lagi menjadi sebutan, nama-nama kampung seperti Melor,
Keliok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan
Belimbing pasti akan kedengaran apabila ada yang menjejak sejarah
empangan hidro-elektrik itu.
Namun kini cerita masyarakat yang dahulu berkampung jauh di hulu Sungai
Terengganu itu bukan sesuatu yang diketahui umum.
Kebanyakan kisah-kisah lisan yang turun dari generasi ke generasi itu
semakin dilupakan.
Wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini ke Kampung Dura, di Kuala Berang
untuk menemui Abbas Othman, bekas penduduk yang pernah mendiami
perkampungan di dasar Tasik Kenyir sebelum ditenggelami air pada 1984.
Pada usia 77 tahun, Abbas boleh dikatakan antara generasi terakhir
'penghuni dasar tasik' yang sanggup berkongsi kisah hidup di kampung
asalnya iaitu Kampung Kuala Terenggan.
Ketika berkongsi memori zaman kanak-kanaknya, Abbas mengakui kehidupan
kampung kira-kira 60 tahun lalu itu jauh berbeza dengan kehidupan
sekarang.
Katanya, kehidupan di kampung itu boleh diibaratkan berada di dalam
dunia yang tersendiri.
Abbas berkata, kedudukan kampung yang terpisah jauh dengan penempatan
lain menyebabkan penduduk bergantung penuh pada sumber alam sehinggakan
wang ringgit tidak mempunyai sebarang nilai.
"Semasa kecil saya tak pernah tengok duit kerana orang kampung tak guna
duit untuk beli barang.
"Nak beras tanam padi, nak ikan ambil di sungai,'' katanya.
Menurut Abbas, wang hanya akan dikeluarkan dari guri (sejenis tempayan
kecil) beberapa kali setahun ketika ada penduduk mahu mudik ke Kuala
Terengganu untuk membeli garam dan pakaian.
Tambahnya, perjalanan menaiki rakit buluh ke Kuala Terengganu kira-kira
50 kilometer dari kampungnya ketika itu memakan masa empat hingga lima
hari.
"Perjalanan menggunakan rakit buluh sangat mencabar kerana penduduk
terpaksa mengharungi sungai yang berarus deras dan berbatu.
"Biasanya satu rakit memuatkan tiga hingga empat orang. Mereka akan
kayuh secara bergilir-gilir. Ada masanya rakit pecah dipukul arus,''
ujarnya.
Menurut Abbas, kehidupan di tengah belantara yang dilalui oleh penduduk
di situ mula mendapat perhatian kerajaan sekitar 1950-an sehingga
menyarankan penduduk supaya berpindah.
Katanya, kerajaan menjanjikan pampasan tanah seluas empat hektar kepada
yang berpindah ke Kuala Berang.
"Perpindahan pertama bermula pada 1950 selepas penduduk merasakan
kehidupan di dalam hutan itu diselubungi kemiskinan.
"Mereka pindah secara berperingkat kerana ada yang tidak mahu berpindah
sebab sayangkan tanah kebun dan sawah yang luas," ujarnya.
Menurut Abbas, beliau dan keluarganya berpindah sebanyak tiga kali iaitu
dari Kampung Kuala Terenggan ke Kampung Petang dan ke Kampung Berching
sebelum menetap sepenuhnya di Kampung Dura sejak 1959.
Tambah beliau, tempoh perpindahan penduduk dari 'dasar' Tasik Kenyir itu
dilakukan kira-kira 20 tahun sebelum pembinaan empangan Stesen Hidro
Elektrik Sultan Mahmud di Kampung Jenagor, Kuala Berang.
"Seingat saya, ada lebih kurang 80 keluarga yang terlibat dalam
perpindahan peringkat pertama,'' katanya.
Selain penduduk dari Kampung Petang dan Berching, Kampung Dura kini
turut dikongsi penduduk dari Kampung Kelitok dan Berching.
Pada masa sekarang, bekas kampung yang bertukar menjadi tasik itu masih
boleh dilihat berpandukan beberapa batang sungai yang masih mengekalkan
nama asalnya.
SUMBER The Terengganu Post
No comments:
Post a Comment