Bunga Pakma atau Rafflesia, sejenis tumbuhan unik dengan bunga
terbesar dan taburan sangat terhad di dunia ditemui di ladang
penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pasir Akar, Besut
beberapa hari lalu.
Pensyarah Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan UniSZA,
Norhayati Ngah menyifatkan penemuan itu membuka ruang kepada
penyelidikan spesies tersebut di samping tumbuhan tradisi yang lain.
“Belum pernah penemuan sebegini dilaporkan di sini dan ini suatu
khazanah alam yang berharga. Kajian boleh dilakukan dari segi ekologi,
pemulihan atau pengekalan termasuk melalui pembiakan.
“Difahamkan, tumbuhan ini yang mudah melalui proses pereputan jika
disentuh tidak boleh hidup apabila diambil atau dipindahkan ke tempat
lain manakala pembiakannya berlaku secara semula jadi.
“Dalam kalangan masyarakat kita, bunga Pakma dikaitkan sebagai
tumbuhan herba terutama bagi kegunaan wanita. Justeru, kajian lebih
mendalam mengenai potensinya boleh dijayakan kelak,” katanya semalam.