Kerajaan
negeri akan menanam pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya
Leucaena leucocephala dan Acacia Mangium bermula bulan depan bagi
menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih.
Bagi
tujuan itu, sejumlah 30,000 hektar tanah disediakan di mana ia mampu
menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu dari pokok itu pada setiap
tahun.
Menteri
Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sekiranya projek itu
berjaya dan menguntungkan, kerajaan negeri akan sarankan petani di
negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka
antara tiga hingga lima hektar seorang.
“Kita akan galakkan mereka menanam
pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia ini
memerlukan bahan mentah itu dalam kuantiti yang banyak untuk
menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti
karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan
aktif.
Beliau berkata demikian selepas
menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan
Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis
Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian
Biotechnology Corporation (BiotechCorp) di Kuala Terengganu, semalam.
Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili
Setiausahanya Datuk Mazlan Ngah manakala ECERDC oleh Ketua Pegawai
Eksekutif Datuk Jebasingam Issace John manakala BiotechCorp diwakili
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.
Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata
pembinaan Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia di kawasan seluas 1,000
hektar itu bermula bulan depan dan dijangka siap dan beroperasi pada
2014.
“Taman Biopolimer Kertih merupakan
antara projek utama Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang menawarkan
peluang pelaburan dan sinergi yang meluas kepada peserta industri
bioteknologi.
“Kedudukannya yang berhampiran dengan
Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih milik Petronas membolehkan
pembekalan produk secara bersilang antara kedua-dua kompleks yang pada
masa sama menawarkan ekonomi yang menguntungkan bagi pembekalan utiliti
dan logistic,”katanya.
No comments:
Post a Comment